Kelantan mempunyai sejarah yang panjang dalam proses pembangunan
ketamadunan dan kebudayaan. Kelantan sebagai Kerajaan Seri Wijaya Pertama
(500M-1450M) dilimpahkan nikmat yang mencurah-curah sebagai negeri pengeluar
emas dan tanaman padi sebagai sumber makanan utama.
Kerajaannya sangat kuat dan dapat menakluk kerajaan Langkasuka pada tahun
670 M. Kemudian pada 673 M dengan kekuatan bala tentera seramai 20,000 orang
telah menyerang Kerajaan Melayu di Palembang. Sekitar tahun 960 M, penaklukan
kuasa dilakukan terhadap kerajaan-kerajaan lain di Sumatera, serta memindahkan
ibu kotanya dari Kelantan ke Palembang. Kelantan menjadi ibu kota bagi Kerajaan
Seri Wijaya ke-1 manakala palembang menjadi ibu kota ke-2.
Pendapat ahli sejarah yang menyokong bahawa Kelantan adalah tapak pertama
Kerajaan Seri Wijaya ialah Dr. Muhammad Yamim dan Dr. Umar Amin Husain. Mereka
cenderong kepada teori Professor Dr. Moens yang memberikan pendapat yang sama.
Penggembara China, I-Tsing menulis antara tahun 690-692 M, daerah Melayu
telah dimasukkan kedalam kerajaan Seri Wijaya. Ini beerti kedatangan I-Tsing
pada kali kedua apabila Kerajaan Seri Wijaya sudah menubuhkan pusat
pemerintahan barunya di Palembang.
Dipercayai, Ibu kota pemerintahan Kerajaan Seri Wijaya di Kelantan terletak di Kuala Krai. Kelantan dalam pandangan geografi hari ini berbeza dengan pandangan geografi pada zaman lampau. Dahulu, Kelantan adalah sebuah kerajaan yang kuasanya luas melebar, sedang namanya termashur di pertengahan abad ke-12 (tahun 1150 M).
Bukti lain yang mengukuhkan kenyataan ini adalah hasil daripada pertemuan
wang dinar di kawasan Kota Kubang Labu. Pada dinar tersebut terdapat nama
Kelantan dengan sebutan “Al-Julus Kelantan” dan disebelahnya tertulis
“Al-Mutawakkil” (keduanya ditulis dalam perkataan arab) dan juga ditulis tahun
577 H (dalam angka arab) iaitu 1181 M pada wang tersebut.
Penemuan dinar ini sekali gus membuktikan dengan jelasnya pengaruh agama
Islam berkembang dengan baik sehingga dinar dan tulisan arab digunakan pada
mata wang dinar oleh pemerintah pada ketika itu.
Catatan penggembara Itali, Marco Polo, dalam perjalanan pulang dari
Tiongkok ke India pada tahun 1292M, beliau singgah di Kelantan iaitu di Lokak
atau dalam sebutan Kelantan “Lokok” (To’ Lokok) yang terletak di pantai Kelantan.
Malah, catatan perjalanan Ibnu Batuta, penggembara Arab, pernah berlayar
dari India ke Tiongkok pada tahun 1297M, beliau singgah di sebuah negeri
bernama “Kilu Kerai” (Kuala Kerai) yang terletak di Ulu Kelantan). Malah Ibnu
Batuta mencatatkan lagi, beliau menghadap seorang Raja Perempuan yang telah
menganut agama Islam, disebut Urduja.
Rujukan:
Sa’ad Shukri bin Haji Muda, Detik-Detik Sejarah Kelantan, dengan pembaharuan dan tambahan oleh Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh (A.Q.H.A.S), Kota Bharu: Pustaka Aman Press (1971).
Sumber : DISINI

0 komentar:
Posting Komentar